Rasulullah buktikan hanya ketakwaan senjata paling berkesan pertahan agama, tanah air. Perubahan peradaban manusia berlaku amat pantas.
Islam yang suatu ketika dulu begitu gemilang, kini jatuh tersungkur di tangan Barat yang mendominasi dunia terutama dari segi ekonomi. Umat Islam dalam sejarah adalah kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi pada hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri selain dilabel dengan imej negatif atau pengganas.
Berita keganasan, pembunuhan dan pencerobohan dilakukan kuasa besar Barat terhadap umat Islam bukan perkara baru kerana berlaku sejak lama dulu sehingga hari ini penindasan itu masih berleluasa. Keganasan dan penindasan di Palestin, Lubnan, Kosovo, Chechnya, Bosnia dan paling hampir dengan negara kita seperti Thailand berlaku tanpa pembelaan sewajarnya. Sehingga kini entah berapa banyak nyawa terkorban, harta musnah dan air mata tumpah membasahi bumi.
Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika segala ideologi yang menyesatkan seperti sekularis, komunis, sosialis dan kapitalis masih digunakan pemimpin Islam sendiri. Ideologi bertentangan Islam patut ditolak oleh umat Islam.
Negara Islam hari ini, secara umum lemah dari pelbagai segi merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Sehingga kini kesatuan dan kekuatan umat Islam secara keseluruhan masih belum pulih. Kelemahan ini juga menjadikan Barat semakin berani menekan dan melakukan pelbagai penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam. Pemimpin negara Islam masih gagal mencapai kata sepakat menangani masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam seperti di Palestin semakin terancam. Mereka juga tidak memahami perkara awlawiyyat (keutamaan) sehingga menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam terabai. Kegagalan ini juga mengakibatkan negara Islam terpaksa tunduk kepada kehendak Barat.Kebanyakan kita mengaku sebagai umat Islam, namun setakat manakah peranan dan tanggungjawab sebagai saudara seagama dalam usaha membantu mereka yang ditindas dan apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Surah al-Anfaal, ayat 73)
Kini sudah sampai masanya umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah silapnya. Masyarakat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia.
Pemimpin negara Islam harus bersatu dan memandang ke depan di samping mengatur strategi efektif ke arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha yang mampu dilakukan ialah memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi, ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah, persaudaraan dan persenjataan supaya segala bentuk penjajahan, penindasan dan menghina umat Islam dapat dihindarkan. Umat Islam perlu kembali kepada fitrah iaitu menghayati serta mengamalkan al-Quran dan hadis sepenuhnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment