Wednesday, October 14, 2009

Elak Sambut Valentine's Day

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan
masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan ataupun filem-filem yang bertemakan perayaan tersebut.


Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak
mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai perayaan hari
berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk
mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai atau dikasihi.


Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai
sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa,
mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasangpasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.

Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku Hussain dalam akhbar Utusan
Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk ‘Apa dihairankan dengan
parti buih.’ Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa
ke atas ‘parti buih’ di Bangsar yang diraikan dengan tarian bogel dan pakaian
mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun sebelumnya pernah ada penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa bersempena Hari Kekasih
tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa Masjid Abu Bakar al-Siddiq,
Bangsar.

Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang
paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan
kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah
sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini
sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya
meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang
melibatkan aqidah Islam. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud;


“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan
menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu
menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan
beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu
beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi
aku agamaku.” (al-Kafirun ayat 1-6)


Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat
lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.;

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada
amalan kami maka ia akan ditolak.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan
menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan
dengan ajaran Islam”. Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang
bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa
amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan
amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah
bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari
Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam
”.

No comments:

Post a Comment